Jumaat, 10 Jun 2011

Utusan agen Biro Politik Umno di muktamar PAS!...


BIAR pun sibuk membaiki kedainya, pada pagi 4 Jun lalu seorang pemimpin Umno di peringkat cawangan sempat menanya siapa menang Timbalan Presiden PAS. Lalu dijawab penulis, Mat Sabu.
“Betulkah begitu, ambo sebelum ini ingatkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man boleh menang,” ujar pemimpin Umno terbabit.
Kemudian ketika berjumpa kali kedua di tempat kenduri di rumah seorang penduduk, Tuan Ismail selepas Zohor hari sama, beliau memberitahu sudah tahu semua pemenang. Katanya televisyen ada siar nama pemenang pada berita tengahari.

“Haji Husam pun menang Naib Presiden. Kalau hendak dibanding dari segi ilmu jauh berbeza di antara Mat Sabu dan Tuan Ibrahim.
“Tapi Mat Sabu panglima PAS yang tahan lasak. Ambo ingat Tok Guru Nik Aziz pun suka begitu,” ujar lelaki lewat 60-an itu, seperti berminat sangat.
Biar pun dia ahli tegar Umno, namun beliau tahu apa yang berlaku dalam PAS. Ternyatalah perhatian seluruh negara terarah pada muktamar PAS di Taman Melewar.
Bukan sekadar ahli di peringkat cawangan, sebaliknya pemimpin tertinggi Umno pun mengikuti sama perkembangan muktamar. Kadang-kadang ada debarnya.
Nampaknya semua orang berminat mengetahui apa yang berlaku dalam PAS.
Maka tidak hairanlah sejak dari awal lagi akhbar milik Umno, Utusan Malaysia menjadikan PAS sebagai tajuk utama. Editornya menyediakan beberapa halaman untuk mengkisah berkaitan muktamar PAS.
Ramai melihat Utusan cuba berlagak ’alim’ seketika. Dimulakan dengan persembahan tajuk depan ”Gelora pemilihan PAS” pada 28 Mei. Mungkin tidak ramai yang mengendahkan spekulasi tersebut.
Lalu dinyaringkan lagi dengan paparan tajuk ”Kekalkan Hadi-Nasha” pada tajuk halaman depan 2 Jun. Kali ini ada yang mulai tersentak.
Pada pagi sebelum perwakilan PAS mengundi, Utusan menggunakan pula tajuk ”Ingatan Ulama”. Selain itu dikutip pula kenyataan bloggers mesra Umno, Kickdeffela kononnya Datuk Husam Musa membayar pampasan sebanyak RM350,000.
Seorang veteran PAS di Pasir Mas, Hashim Omar, 65 memberitahu pertuduhan dilempar blogger terbabit boleh mengundang kepada agensi penguatkuasa mengintai peluang.
”Maklumkan kalau ada berita tak betulkan sekalipun SPRM segera siasat. Sedangkan banyak laporan terhadap salah laku pemimpin Umno lambat diambil tindakan,” ujarnya.
Jelaslah akhbar milik Umno itu paling rimas sekiranya jawatan Timbalan Presiden PAS bertukar ganti. Utusan juga bimbang sangat Husam mendapat semula kerusi lamanya.
Sikap bermurah hati editor Utusan memberi ruang luas kepada Muktamar PAS kali ke-57 berselindung di sebalik tujuan tersirat. Ada udang di sebalik batu. Atau juga dianggap lempar batu sembunyi tangan.
Sebelum muktamar berlangsung tiga berita berkisar PAS dipapar di muka hadapan. Di penghujung muktamar dua lagi berita utama disedekah untuk PAS.
Teori Hata
Kalau diikuti teori dinukil bekas wartawan kanan Utusan, Wata Wahari semua berita utama mesti mendapat izin Biro Politik Umno. Mungkinkah lima paparan muka depan akhbar terbabit berkisar muktamar PAS dilulus Biro Politik Umno.
Biro itu diketuai Dato’ Seri Najib Razak. Jelaslah impian Najib dan Biro Politik Umno menghalang pemimpin PAS yang dilihat rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat kedudukan lebih kanan. Namun mereka gagal.
Perwakilan PAS tidak menghiraukan nasihat Utusan. Begitu juga berita peringatan Ketua Dewan Ulamak - pemimpin PAS jangan korbankan identiti Islam, yang tersirat sesuatu, mungkin inilah harapan Biro Politik Umno.
Apa sebab teori dicetus Utusan tidak mengena. Pertamanya, berapa kerat sangat perwakilan PAS lebih 1,000 orang itu sudi mengelek Utusan. Keduanya, pemimpin PAS ada banyak pengalaman dengan mainan tersirat akhbar Umno itu.
”Saya lihat Utusan tidak lebih sebagai surat pekeliling Umno. Laporannya tidak serupa dengan akhbar lain. Eloklah ahli dan penyokong tidak baca akhbar itu,” kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Utusan balun PAS
Bekas pegawai kanan Kementerian Kewangan, Anual Bakri Haron pula mengingatkan bola tanggung diangkat Utusan akan dibalun dengan ’smash’ kencang.
Betul. Itulah yang berlaku dengan ulasan dipapar akhbar terbabit. Tujuannya supaya ada bola tanggung boleh dicuit pemimpin Umno. Semua tajuk utama yang disaji akan diulas dengan kenyataan ’lintang’.
Semuanya bertujuan bagi menghodoh wajah PAS. Inilah perniagaan politik yang menjadi mainan akhbar milik Umno apabila melaporkan berkaitan musuh.
Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin diberi sedikit ruang memuntahkan pandangannya, ”Perjuangan PAS sudah tersasar”. Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pula bermadah ”PAS sanggup gadai perjuangan asal demi kuasa”.
Manakala menteri yang suka pakai azimat di lengan Dato’ Seri Nazri Aziz pula berlagak seperti pak nujum dengan menyebut ”Negara kebajikan gimik politik PAS.”
Biar pun PAS dianggap musuh tradisi kerana mahu menggantikan Umno, namun dalam situasi perniagaan, ada halaman khas disediakan Utusan untuk muktamar PAS.
Utusan perlu memperlihatkan akhbar itu utra Melayu kerana pendokong PAS juga Melayu. Agenda utamanya menghalang kenalan Anwar berada di posisi depan gerakan Islam tersebut.
Namun apa yang berlaku perwakilan PAS ketepikan segala agenda mainan Biro Politik Umno yang cuba campur tangan dalam rumah tangga PAS.
Fenomena itulah yang lebih awal dikesan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasharuddin Hassan. Beliau seperti yakin ada pihak luar cuba campur tangan dalam rumah tangga PAS.
Malangnya ada pemimpin PAS menolaknya mentah-mentah. Namun apa yang disaji Utusan sepanjang muktamar berlangsung, ada niat kolaborasi bagi mempertemukan dua parti Melayu terbesar di satu pentas.
Ada sarjana juga melihat keperluan kepada kolaborasi di antara dua parti Melayu.
Mungkin itulah yang diarah Biro Politik Umno sehingga tersemat di jiwa pasukan editornya. Malangnya tidak ramai perwakilan PAS sudi menggelek Utusan seperti membawa kitab Fikah.
Apa yang pasti Utusan mahu mengnyahkan segala unsur simpati terhadap Anwar. Isu Anwarisme tiba-tiba ditimbulkan  media proUmno. Muktamar PAS dilihat mereka sebagai medan terbaik bagi menguji ’sampling’ tersebut.
Tutup isu Uda
Biar pun begitu Utusan agak berjaya menghayungkan isu muktamar PAS bagi menenggelamkan masalah menghambat UDA Holdings Bhd dan kenaikan tarif elektrik.
Hutang UDA sehingga RM900 juta ditutup rapat daripada diketahui rakyat. UDA menggadai banyak tanah peribumi di Pulau Pinang juga tidak pernah terdedah.
Akhirnya pekung itu terbongkar juga apabila diluah sendiri pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed. Itu pun didedah sekadar mahu mempertahankan dirinya akibat diserang tubi rakan-rakannya dalam Umno.
Oleh itu bagi menutup rapat isu tersebut mungkin Biro Politik Umno mengarahkan Utusan ’lebihkan’ berita muktamar PAS. Berbanding akhbar lain Utusan dilihat tiba-tiba mesra PAS.
Mampukah akhbar itu mengembalikan kegemilangan seperti di era perjuangan menentang Malayan Union. Ketika itu Utusan Melayu memang menjadi ’kitab’ rujukan orang Melayu.
Hari ini bukan Pak Said Zahari atau Hata Hawari bisa menjawabnya, perwakilan PAS tahu apa yang tersirat di sebalik berita Utusan. Siapa percaya kalau musuh membawa berita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.