Khamis, 9 Jun 2011

Negara kebajikan Umno menekan rakyat...


KUALA LUMPUR, 8 Jun: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, wajar diberikan ucapan tahniah di atas kenyataannya 'BN telah laksanakan negara kebajikan' kerana ia memperjelaskan lagi imej sebenar di mata rakyat.

Dengan kenyataan itu, Najib ternyata mengakui negara kebajikan bagi Umno BN adalah dengan menaikkan harga petrol, barangan keperluan utama, elektrik dan pelbagai keperluan lain yang ternyata amat menekan rakyat.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, di samping itu, negara kebajikan Umno juga adalah negara yang di dalamnya penuh dengan amalan rasuah, fitnah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan di kalangan pemimpinnya, sehingga turut mempengaruhi rakyat hidup dalam keadaan tidak bersih.

Menurut beliau, perkara itu amat berbeza dengan konsep negara kebajikan yang diperjuangkan oleh PAS kerana negara kebajikan yang diperjuangkan oleh PAS sememangnya selaras dengan tuntutan Islam.

Katanya, dalam negara kebajikan yang diperjuangkan oleh PAS, para pemimpinnya mestilah bersih, jujur, ikhlas, tidak mengamalkan rasuah dan tidak mengambil kesempatan ke atas rakyat, sehingga akan melahirkan keberkatan dari Allah. 


"Apabila pemimpin bersih, jujur, ikhlas, rakyat juga akan menjadi bersih, jujur dan ikhlas seperti juga para pemimpinnya sehingga membolehkan negara turut bersih dari amalan rasuah dan jenayah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Najib seperti yang dilaporkan Bernama semalam dalam kenyataannya berkata, tema muktamar terbaru oleh PAS yang kononnya hendak mewujudkan sebuah negara kebajikan bukanlah perkara baru, bahkan itulah yang sudah diperjuangkan oleh Umno dan BN selama ini.

Katanya, perjuangan Umno dan BN selama ini menepati ciri-ciri negara kebajikan seperti dalam bidang pendidikan, kesihatan, subsidi makanan dan minyak yang semuanya sudah dinikmati oleh rakyat sejak sekian lama.

"Perubahan slogan tagline PAS yang bukan lagi untuk mewujudkan negara Islam tetapi negara kebajikan bukan perkara baru tetapi labelling baru saja," katanya dalam sidang media dengan wartawan Malaysia pada hari pertama lawatan rasminya ke Kazakhstan di Astana sejak Isnin lalu.

Ketika mengulas mengenai keputusan pemilihan pada Muktamar PAS Ke-57 baru-baru ini, Najib berkata, keputusan itu terhasil kerana pemilihan PAS banyak mengambil pertimbangan soal pilihan raya berbanding untuk mencerminkan perjuangan membangunkan sebuah negara Islam atau untuk kepentingan Islam itu sendiri.

Menurut Mahfuz, dengan kenyataan Najib itu, rakyat bolehlah menilai lebih jauh antara perbezaan Umno BN dan PAS Pakatan Rakyat kerana ia memperlihatkan perbezaan yang amat ketara antara negara kebajikan Umno BN dan negara kebajikan PAS dan Pakatan.

"Kenyataan Najib itu jelas memperlihatkan adanya format baru BN terhadap pengertian negara kebajikan seperti yang telah diamalkan oleh Umno BN selama ini yang bukan sahaja sentiasa menaikkan harga barangan, tetapi juga turut memperlihatkan tiadanya open tender dalam sesuatu projek yang dilaksanakan," katanya.

Mengulas tentang kenyataan Najib yang mengatakan pemimpin PAS lebih menekankan pilihanraya sekarang, beliau berkata, perkara itu tidak bersalahan kerana untuk membolehkan PAS melaksanakan negara kebajikan mestilah dengan mendapatkan kuasa pemerintahan terlebih dahulu.

"Kalau tak menang pilihanraya bererti tak dapatlah nak memerintah. Kalau tak dapat memerintah, macam mana PAS nak melaksanakan negara kebajikan yang diperjuangkan?" katanya.

Matlamat PAS menekankan pilihanraya, tegasnya, adalah untuk membolehkan PAS melakukan perubahan terhadap pemerintahan negara dengan beralaskan landasan yang betul selaras dengan tuntutan Islam.

"Mengenai barisan kepimpinan baru dalam PAS pula, itu adalah kemahuan para perwakilan. Dalam masa yang sama, ia juga jelas memperlihatkan perbezaan Umno BN dan PAS yang tidak menyekat ahli-ahlinya memilih para pemimpin yang disukai mereka.

"Ini berbeza dengan Umno BN yang sentiasa menyekat kebebasan ahli-ahlinya memilih para pemimpin yang disukai oleh mereka, sehingga menyebabkan pemimpin yang dipilih itu tidak selayaknya menjadi pemimpin, ekoran sikap mereka yang buruk yang turut merosakkan negara," tegas beliau.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.