Selasa, 23 Ogos 2011

Menang pilihan raya cara haram..



KOTA BHARU, 23 Ogos: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ramai wakil rakyat seluruh negara yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-12 lalu dengan cara haram.
Ini, tegasnya adalah hasil daripada pendedahan yang dibuat oleh pihak Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) berhubung kesilapan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) seperti nama pengundi bertindih dan lain-lain.

Katanya, apa yang dibuktikan oleh Bersih itu adalah untuk menyedarkan SPR terhadap kesilapan-kesilapan yang mereka lakukan.
Tegasnya, selagi kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh SPR itu tidak dibersihkan, bermakna pilihan raya yang dilaksanakan adalah kotor.
“Di dunia kena laknat, di akhirat pun kena laknat,” tegasnya yang juga Menteri Besar Kelantan kepada wartawan selepas menyampaikan sumbangan kuih raya kepada pasukan keselamatan yang bertugas pada hari raya di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darul Naim, di sini pagi tadi.
Justeru, bagi beliau Bersih telah memberikan khidmat yang besar kepada negara bagi menuntut pilihan raya yang adil.
“Siapa nak menang, siapa nak kalah, serah kepada pengundi,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan pasukan keselamatan supaya melaksanakan tugas yang utama iaitu menjaga agama.
Ini, katanya kerana agama yang menguruskan nafsu manusia yang tidak dapat dilakukan melalui undang-undang.
"Dengan undang-undang manusia tidak boleh diurus. Mesti ada sesuatu yang manusia buat di luar kemampuan undang-undang, yang boleh menguruskan nafsu manusia ialah agama.
"Ingat, tiap-tiap orang akan mati dan lepas mati akan dibalas oleh Allah," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...